layari http://www.youtube.com/norwati1 untuk video

Saturday, June 19, 2010

MUFLIS kerana SUBSIDI?



1. Mengapa subsidi ini dibangkitkan?

· Malaysia merupakan antara negara yang memberi subsidi tertinggi kepada rakyatnya iaitu berjumlah RM74 billion pada 2009. Ia melibatkan peningkatan sebanyak RM24.5 billion, melibatkan 15.3% daripada jumlah perbelanjaan negara. Perbelanjaan subsidi terdiri daripada perbelanjaan sosial (RM42.8 billion), bahan api (RM23.5 billion), insfrastruktur (RM4.6 billion) dan makanan (RM 3.1 billion).

· Bebanan kewangan ini perlu diketengahkan supaya rakyat faham baik dan buruknya subsidi. Jika tidak dibendung boleh memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang seperti mana yang telah berlaku di Greece. Mungkin ini, tidak akan berlaku di sini kerana wujud perbezaan di antara Malaysia dengan Greece.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan subsidi?

· Subsidi merupakan bantuan dalam bentuk kewangan yang disalurkan kepada beberapa sektor ekonomi dan sosial.

· 97% daripada subsidi Malaysia diagihkan secara menyeluruh. Ia diberi kepada setiap orang tanpa mengira kedudukan dan paras pendapatan mereka.

· Subsidi disalurkan dalam pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perubatan, petrol, gula dan minyak masak, selain bantuan kebajikan dan elaun.

· Sebagai contoh, harga gula sebelum subsidi adalah RM1.85.Pembeli hanya perlu membayar sebanyak RM1.65 sekilogram di mana RM0.20 adalah subsidi daripada Kerajaan.

· Contoh kedua, harga tepung gandum sebelum subsidi adalah RM1.55 sekilogram. Pembeli hanya perlu membayar sebanyak RM1.35 sekilogram di mana RM0.20 adalah subsidi daripada Kerajaan.

3. Apakah rasional penarikan subsidi?

· Walaupun keputusan Kerajaan menarik balik subsidi merupakan satu keputusan yang tidak popular tetapi ini adalah satu perkara yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan untuk ‘survival’ bagi mengelakkan Kerajaan daripada menjadi muflis.

· Bil subsidi Kerajaan tidak berkekalan, terutama berdasarkan defisit bajet dan hutang Kerajaan yang semakin meningkat. Ia lebih tinggi berbanding Indonesia pada 28% dan semakin menghampiri Filipina pada 62%.

· Ketika ini, Kerajaan mewujudkan dua harga berbeza melalui pelbagai mekanisme seperti sistem kod pembelian khas seperti dinikmati nelayan melalui pemberian subsidi petrol.

· Kedua, menghadkan jumlah pengisian minyak bagi kereta luar memasuki atau mahu meninggalkan negara. Namun, isu tetap timbul, apabila kegiatan penyelewengan dilakukan membabitkan petrol oleh nelayan di tengah laut.

· Selain itu, penyeludupan membabitkan minyak masak, gula dan tepung di pintu sempadan merugikan wang rakyat yang disalurkan melalui subsidi barang-barang tersebut.

· Senario semasa juga menunjukkan bahawa mereka yang menikmati subsidi adalah golongan berpendapatan tinggi kerana mereka memiliki lebih banyak kenderaan.

· Peniaga turut memperoleh manfaat daripada subsidi yang diperuntukkan untuk penggunaan domestik.

4. Sampai bilakah rakyat perlu bergantung pada subsidi?

Rakyat seharusnya berdikari dalam menghadapi kehidupan seharian tanpa perlu bergantung
pada subsidi. Tahukah anda beban hutang negara? Beban hutang negara kita mencecah RM362 billion atau 54% daripada KDNK yang tertinggi sejak merdeka dan dianggar meningkat kepada RM1,158 billion menjelang 2019.

· Pemansuhan pemberian subsidi ada satu model bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara agar lebih berdaya saing. Tetapi ia tidak semestinya satu-satunya pendekatan untuk menangani beban Kerajaan.

5. Apakah reaksi masyarakat?

· Berdasarkan isu ini, masyarakat memandang serius terutamanya mereka yang berada di garisan kemiskinan kerana situasi ini bakal menambahkan lagi beban dalam kehidupan mereka dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang melambung dari semasa ke semasa.

· Rakyat seharusnya sedar, subsidi ini tidak akan kekal sehingga ke akhir hayat, pembayarannya adalah bertujuan untuk membantu rakyat tetapi ia juga mempunyai implikasi yang serius kepada Kerajaan.

· Secara umumnya, harga barangan di negara ini juga di negara-negara jiran adalah lebih tinggi, dan peniaga-peniaga yang mementingkan keuntungan sendiri menyeludup barangan, yang telah di subsidi oleh Kerajaan dan menyebabkan tanggungan subsidi yang lebih tinggi dan mengurangkan stok rakyat sedia ada.

6.Apakah kebaikan daripada penarikan subsidi?

· Hasil daripada kajian mendapati bahawa sekiranya subsidi ditarik maka Kerajaan akan dapat menyelamatkan kewangan negara sehingga RM103 billion dalam jangka masa lima tahun yang boleh digunakan untuk membayar beban hutang negara.

· Di samping, menyelaraskan defisit fiskal negara. Buat masa ini, Kerajaan membelanjakan RM74 billion setahun sebagai subsidi dalam sektor ekonomi dan sosial.

· Kerajaan juga berhutang kepada beberapa pihak dengan jumlah sebanyak RM362 billion dan defisit kewangan adalah di paras RM47 billion.

7. Bilakah rancangan penarikan subsidi akan dikuatkuasakan?

· Kerajaan telah mengumumkan bahawa penarikan subsidi tidak dibuat dengan tergesa-gesa, malah Kerajaan akan mendapatkan maklum balas daripada rakyat berhubung isu subsidi ini.

· Pelancaran Makmal Rasionalisasi Subsidi di KLCC baru-baru ini, juga telah memberi maklumat terperinci kepada rakyat di negara ini.