layari http://www.youtube.com/norwati1 untuk video

Thursday, March 19, 2015

tak faham atau memang mengamalkan? sebab tu TOLAK HUDUD

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hukuman hudud ( حدود ) adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan Hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah S.W.T yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.

Dalil al-Quran

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah, ayat 229).

Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud

  1. Berzina - iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara'.
  2. Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
  3. Minum arak - minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.
  4. Mencuri - iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
  5. Murtad - iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.
  6. Merompak (hirabah), iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
  7. Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah (Daulah Islamiyah) yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum Islam
-Namun Hukuman hudud ini hanya melibatkan Umat Islam sahaja, orang yang bukan islam tidak terlibat sama sekali kecuali jika mereka memilih untuk terlibat
-hanya orang dewasa yang berfikiran waras sahaja yang dihukum hudud, bagi kanak-kanak dan pesakit mental mereka tidak terlibat

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
maksudnya :
"dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kamu."

Rujukan: Jabatan Mufti Melaka

Sunday, March 08, 2015

Pinjaman 110 Peratus untuk Pembeli Rumah PR1MA

PINJAMAN 110 PERATUS UNTUK PEMBELI RUMAH PRIMA – PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tawaran pinjaman sebanyak 110 peratus akan dipanjangkan kepada pembeli rumah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) daripada institusi-institusi kewangan terpilih.

Perdana Menteri berkata ini sebagai kelangsungan daripada usaha kerajaan bagi membantu rakyat berkaitan projek perumahan itu. “Pembiayaan ini supaya semua pembeli mampu memiliki rumah, manakala 10 peratus lebihan pembiayaan adalah bagi menampung kos tambahan seperti guaman dan insurans. “Juga, Skim Pembiayaan Sewa-Beli atau ‘rent-to-own’ turut ditawarkan sebagai bantuan kepada golongan pertengahan memiliki rumah,”.

Dalam pembentangan Bajet 2015 bertemakan ‘Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat’ di Parlimen pada Oktober lepas, PM Najib mengumumkan kerajaan akan menangani isu pemilikan rumah dengan harga berpatutan melalui pembinaan 80,000 unit rumah di bawah PR1MA dengan peruntukan RM1.3 bilion. Langkah itu, katanya bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah dan had kelayakan pendapatan isi rumah juga dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000. Dalam pembentangan itu, Najib berkata Skim Pembiayaan Sewa Beli akan diperkenalkan khusus kepada individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank.



tapi kalau bandingkan Rumah Idaman Rakyat oleh SPNB ni, macam lagi bagus ek .... 



Hukum Merayakan Maulid Nabi SAW

HUKUM MERAYAKAN MAULID NABI S.A.W.



SOALAN :

Apakah hukum merayakan Maulid Nabi kerana tidak ada riwayat yang menyebutkan Baginda s.a.w. pada setiap ulang tahun kelahirannya melakukan upacara tertentu. Bahkan para Sahabat Baginda pun tidak pernah mengadakan perayaan secara khusus.

PENJELASAN:

Secara khusus, Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah menganjurkan untuk melakukan apa-apa upacara tertentu bagi menyambut ulang tahun kelahiran baginda. Selepas kewafatan baginda juga, para sabahat dan tabi’in tidak juga melakukan apa-apa upacara tertentu dalam menyambut ulang tahun kelahiran baginda.

Sambutan Maulid Nabawi mula diadakan oleh sebahagian golongan khalaf pada zaman terkemudian. Catatan paling awal tentang sambutan Maulid Nabi direkodkan oleh sejarawan Islam terkenal Al-Maqrizi, iaitu pada zaman pemerintahan Fatimiyyah. Beliau merekodkan dalam bukunya: “Para khalifah-khalifah kerajaan Fatimiyyah mempunyai beberapa perayaan dan sambutan musim-musim tertentu sepanjang tahun.

Sambutan tersebut ialah: musim permulaan tahun, hari Asyura, maulid Nabi S.A.W, maulid Ali bin Abi Talib r.a., maulid Hasan, maulid Husain, maulid Fatimah al-Zahra’ ....”. (Al-Mawa’iz wa al-I’tibar, 1/432).

Mantan Mufti Mesir Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i di dalam bukunya Ahsan alKalam mengatakan bahawa dari Khalifah Al-Mu’izz Lidinillah merupakan khalifah kerajaan Fatimiyyah pertama yang mengadakan sambutan maulid. Pada tahun 362H, beliau telah menganjurkan sambutan enam maulid di Kaherah, iaitu Maulid Nabawi SAW, maulid Ali bin Abi Talib, maulid Fatimah, maulid Hasan, maulid Husain dan maulid Khalifah Al-Hadhir. Akhirnya, setelah terbukti bahawa kegiatan ini memberi kebaikan dan mampu membawa umat Islam untuk selalu ingat kepada Nabi Muhammad S.A.W., menambah ketakwaan dan keimanan, kegiatan ini pun berkembang ke seluruh wilayah Islam, termasuk Nusantara Melayu.

Imam Al-Suyuti di dalam Kitab Al-Hawi Li Al-Fatawi menukilkan daripada SyeikhulIslam Ibnu Hajar Al-Asqalani berkenaan dengan sambutan Maulid Nabawi, lalu beliau menjawab: “Asal sambutan maulid adalah bidaah (perkara yang tidak berlaku pada zaman Nabi SAW) yang tidak pernah dinukilkan oleh seorang pun dari kalangan al-salaf al-soleh pada tiga kurun pertama hijriah. Namun perayaan itu mengandungi perkara-perkara kebaikan dan juga perkara-perkara yang berlawanan dengan kebaikan. Justeru, sesiapa yang hanya melakukan perkara kebaikan serta menjauhi perkara yang berlawanan dengannya, maka ia dikira bidaah hasanah.” (Bidaah hasanah ialah setiap perkara yang tidak berlaku pada zaman Nabi SAW tetapi mempunyai kaitan dengan maslahah(kebaikan umum)dan berlandaskan syarak serta tidak menyalahinya.)

Terdapat hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W berpuasa pada hari Isnin kerana itu adalah hari keputeraan baginda. Abu Qatadah Al-Ansari meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. ketika ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, jawapan yang diberikan ialah: "Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul". (Riwayat Muslim, 2/819, no: 1162).

Sambutan Maulid Nabi SAW boleh dimasukkan dalam perkara maslahah mursalah, iaitu perkara-perkara yang tidak kedapatan anjuran dan larangan secara khusus daripada syarak, tetapi ia boleh membawa kebaikan kepada masyarakat Islam. Yang dimaksudkan dengan sambutan Maulid Nabi di sini ialah merujuk kepada memperingati kelahiran Rasulullah S.A.W. yang bertujuan untuk meneladani jejak langkah Baginda SAW dalam seluruh aspek kehidupan dengan mengikut sunnah dan ajaran yang telah dibawa oleh Baginda.

Justeru sambutan Maulid Nabi SAW hendaklah diisi dengan perkara-perkara yang tidak bercanggahan dengan syariat Islam seperti amalan-amalan kebaikan yang mempunyai anjuran umum di dalam syarak. Rasulullah S.A.W. pernah menyebutkan: “Barang siapa merintis jalan kebaikan maka dia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang menjalankannya, dan barang siapa merintis jalan kesesatan maka dia akan mendapat dosa dan dosa orang yang menjalankannya” (Riwayat Muslim, 2/704, no: 1017).

Dalam pada itu, sambutan Maulid Nabi ini tidak boleh disamakan dengan perayaan Hari Natal atau Krismas kerana umat Kristian menyambut hari tersebut sebagai hari lahirnya anak Tuhan, manakala umat Islam menyambut Maulid Rasul SAW kerana memperingati lahirnya seorang Rasulullah pembawa rahmat seluruh alam. Maulid Nabi yang disambut setiap tahun oleh kaum Muslimin seluruh dunia pada alaf ini adalah satu bentuk pengagungan dan tanda kecintaan serta penghormatan seluruh umat terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan pengisian sambutan hendaklah tidak mengandungi perkara-perkara yang bercanggahan dengan syarak. Wallahu a'lam Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/b…/hukum-merayakan-maulid-nabi-saw




#menjawabkemusykilan

Perhatian kepada Semua Penerima BR1M

PENERIMA BR1M BOLEH TUNTUT TUNAI DI CAWANGAN BSN

KUALA LUMPUR: Penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang mengalami masalah pengkreditan secara terus ke akaun bank masing-masing boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata terdapat beberapa kesilapan ketika mengisi borang permohonan seperti nombor akaun bank yang tidak tepat, yang menyebabkan proses pengkreditan secara terus ke akaun bank penerima mengalami kesulitan.

"Kerajaan telah mengedarkan surat kepada penerima BR1M terbabit bagi memaklumkan mereka perihal masalah tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Hartanah Malaysia di sini hari ini.
 
Surat itu turut menyertakan kaedah alternatif bagi menuntut BR1M iaitu melalui pembayaran secara tunai di cawangan BSN dan juga terdapat sebuah keratan di bawah surat bagi kegunaan pihak BSN.
Namun demikian, Chua berkata terdapat kekeliruan kerana setakat ini kerajaan telah menerima lebih daripada 100 kiriman keratan surat tersebut yang sepatutnya tidak perlu dihantar kepada kerajaan.
"Kerajaan sedang mengumpulkan maklumat yang berkaitan dan kami akan menghubungi penerima yang terlibat ini bagi merungkaikan kekeliruan tuntutan.
"Satu senarai yang meliputi butir-butir diri mereka akan turut diedarkan kepada pihak BSN agar penerima ini boleh menunaikan BR1M dengan hanya membawa kad pengenalan ke mana-mana cawangan bank tersebut," kata Chua.
Beliau turut menggesa agar penerima BR1M yang telah silap menyatakan nombor akaun bank agar melakukan pembetulan dalam tempoh rayuan yang ditetapkan sehingga 31 Mac 2015.
Katanya pembetulan tersebut adalah penting bagi memudahkan tuntutan berikutnya kerana pembayaran BR1M dilakukan secara tiga peringkat.

Selain itu, beliau turut menyatakan rakyat Malaysia yang layak untuk menerima BR1M tetapi masih belum memohon, boleh berbuat demikian dalam tempoh rayuan tersebut. - BERNAMA

Fatwa Berhubung GST

FATWA BERHUBUNG GST

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Kajian Terhadap Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.
2. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:
i. Sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Isu cukai adalah isu siyasah syar'iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan maslahah    pada sesuatu zaman berbanding zaman yang lain.
ii. Cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh Syarak adalah diharamkan. Oleh itu, jika Kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat rakyat, seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ia adalah dibenarkan.
iii. Sebahagian ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi'i, al-Syatibi, Ibn Khaldun, ulama semasa Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni membenarkan Kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.
iv. Majoriti para ulama berpandangan Kerajaan haram mengutip cukai daripada rakyat. Namun jika terdapat keperluan yang mendesak, maka Kerajaan dibenarkan mengenakan cukai bagi memenuhi maslahah umum rakyat berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah:
الشريعة وضعت لمصالح العباد ودرء المفاسد عنهم
"Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka".
3. Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa apabila Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, wujud kemudharatan khusus iaitu harta milik rakyat akan berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip, banyak maslahah umum tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan. Oleh itu, berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah يُتَحَمَّلُ الضَّرَرُ الْخَاصُّ؛ لِأَجْلِ دَفْعِ ضَرَرِ الْعَامِّ (Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum), Kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum.
4. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri untuk mengutip cukai seperti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia selagimana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak seperti berikut:
i. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam;
ii. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan;
iii. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;
iv. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil;
v. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat;
vi. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan setempat.
Kajian Terhadap Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) | Portal Rasmi Fatwa Malaysia
http://www.e-fatwa.gov.my/…/kajian-terhadap-cukai-barangan-…