HUKUM MERAYAKAN MAULID NABI S.A.W.
SOALAN :
Apakah hukum merayakan Maulid Nabi kerana tidak ada riwayat yang menyebutkan
Baginda s.a.w. pada setiap ulang tahun kelahirannya melakukan upacara tertentu.
Bahkan para Sahabat Baginda pun tidak pernah mengadakan perayaan secara
khusus.
PENJELASAN:
Secara khusus, Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah menganjurkan untuk
melakukan apa-apa upacara tertentu bagi menyambut ulang tahun kelahiran
baginda. Selepas kewafatan baginda juga, para sabahat dan tabi’in tidak juga
melakukan apa-apa upacara tertentu dalam menyambut ulang tahun kelahiran
baginda.
Sambutan Maulid Nabawi mula diadakan oleh sebahagian golongan khalaf pada
zaman terkemudian. Catatan paling awal tentang sambutan Maulid Nabi direkodkan
oleh sejarawan Islam terkenal Al-Maqrizi, iaitu pada zaman pemerintahan
Fatimiyyah. Beliau merekodkan dalam bukunya: “Para khalifah-khalifah kerajaan
Fatimiyyah mempunyai beberapa perayaan dan sambutan musim-musim tertentu
sepanjang tahun.
Sambutan tersebut ialah: musim permulaan tahun, hari Asyura,
maulid Nabi S.A.W, maulid Ali bin Abi Talib r.a., maulid Hasan, maulid Husain,
maulid Fatimah al-Zahra’ ....”. (Al-Mawa’iz wa al-I’tibar, 1/432).
Mantan Mufti Mesir Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i di dalam bukunya Ahsan alKalam
mengatakan bahawa dari Khalifah Al-Mu’izz Lidinillah merupakan khalifah
kerajaan Fatimiyyah pertama yang mengadakan sambutan maulid. Pada tahun
362H, beliau telah menganjurkan sambutan enam maulid di Kaherah, iaitu Maulid
Nabawi SAW, maulid Ali bin Abi Talib, maulid Fatimah, maulid Hasan, maulid Husain
dan maulid Khalifah Al-Hadhir.
Akhirnya, setelah terbukti bahawa kegiatan ini memberi kebaikan dan mampu
membawa umat Islam untuk selalu ingat kepada Nabi Muhammad S.A.W.,
menambah ketakwaan dan keimanan, kegiatan ini pun berkembang ke seluruh
wilayah Islam, termasuk Nusantara Melayu.
Imam Al-Suyuti di dalam Kitab Al-Hawi Li Al-Fatawi menukilkan daripada SyeikhulIslam
Ibnu Hajar Al-Asqalani berkenaan dengan sambutan Maulid Nabawi, lalu
beliau menjawab: “Asal sambutan maulid adalah bidaah (perkara yang tidak berlaku
pada zaman Nabi SAW) yang tidak pernah dinukilkan oleh seorang pun dari
kalangan al-salaf al-soleh pada tiga kurun pertama hijriah. Namun perayaan itu
mengandungi perkara-perkara kebaikan dan juga perkara-perkara yang berlawanan
dengan kebaikan. Justeru, sesiapa yang hanya melakukan perkara kebaikan serta
menjauhi perkara yang berlawanan dengannya, maka ia dikira bidaah hasanah.”
(Bidaah hasanah ialah setiap perkara yang tidak berlaku pada zaman Nabi SAW
tetapi mempunyai kaitan dengan maslahah(kebaikan umum)dan berlandaskan
syarak serta tidak menyalahinya.)
Terdapat hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W berpuasa pada hari
Isnin kerana itu adalah hari keputeraan baginda. Abu Qatadah Al-Ansari
meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. ketika ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, jawapan yang diberikan ialah: "Itulah hari aku dilahirkan dan itulah
juga hari aku diangkat menjadi Rasul". (Riwayat Muslim, 2/819, no: 1162).
Sambutan Maulid Nabi SAW boleh dimasukkan dalam perkara maslahah mursalah,
iaitu perkara-perkara yang tidak kedapatan anjuran dan larangan secara khusus
daripada syarak, tetapi ia boleh membawa kebaikan kepada masyarakat Islam.
Yang dimaksudkan dengan sambutan Maulid Nabi di sini ialah merujuk kepada
memperingati kelahiran Rasulullah S.A.W. yang bertujuan untuk meneladani jejak
langkah Baginda SAW dalam seluruh aspek kehidupan dengan mengikut sunnah
dan ajaran yang telah dibawa oleh Baginda.
Justeru sambutan Maulid Nabi SAW
hendaklah diisi dengan perkara-perkara yang tidak bercanggahan dengan syariat
Islam seperti amalan-amalan kebaikan yang mempunyai anjuran umum di dalam
syarak. Rasulullah S.A.W. pernah menyebutkan: “Barang siapa merintis jalan
kebaikan maka dia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang-orang yang
menjalankannya, dan barang siapa merintis jalan kesesatan maka dia akan
mendapat dosa dan dosa orang yang menjalankannya” (Riwayat Muslim, 2/704, no:
1017).
Dalam pada itu, sambutan Maulid Nabi ini tidak boleh disamakan dengan perayaan
Hari Natal atau Krismas kerana umat Kristian menyambut hari tersebut sebagai hari
lahirnya anak Tuhan, manakala umat Islam menyambut Maulid Rasul SAW kerana
memperingati lahirnya seorang Rasulullah pembawa rahmat seluruh alam.
Maulid Nabi yang disambut setiap tahun oleh kaum Muslimin seluruh dunia pada alaf
ini adalah satu bentuk pengagungan dan tanda kecintaan serta penghormatan
seluruh umat terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan pengisian sambutan hendaklah
tidak mengandungi perkara-perkara yang bercanggahan dengan syarak.
Wallahu a'lam
Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/b…/hukum-merayakan-maulid-nabi-saw
#menjawabkemusykilan


