Sejak pembentangan Bajet 2009 pada 29 Ogos 2008, krisis kewangan global yang tercetus di Amerika Syarikat dan Eropah kini semakin ketara dan telah memberi impak negatif kepada ekonomi benar di peringkat global, termasuk Malaysia. Perkembangan ini sudah pasti akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan antarabangsa pada tahun 2009.Dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global yang mencabar ini, kerajaan telah mengambil langkah tindak balas polisi bagi menangani krisis kewangan global ini. Ke arah ini, dasar pengembangan fiskal dilakukan memandangkan negara mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan projek serta program berimpak tinggi berikutan daripada penjimatan subsidi minyak akibat penurunan harga minyak di peringkat global. Melalui penjimatan yang dijangkakan ini, pelbagai inisiatif melibatkan suntikan peruntukan sebanyak RM7billion akan dilaksanakan bagi memangkinkan aktiviti ekonomi dalam negeri serta merangsang aktiviti sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Projek dan program yang dilaksanakan ini adalah selari dengan 5 teras Misi Nasional dan juga selaras dengan 3 Strategi Khusus Bajet 2009, dalam usaha mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara yang mapan dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Selain pakej ransangan RM7 bilion, langkah-langkah berikut juga akan dilaksanakan:
* Untuk meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan:
- Projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi dan kandungan import yang rendah akan diutamakan.
- Pelaksanaan pendaftaran serta liputan penuh penerima bantuan kebajikan masyarakat berdasarkan tahap kelayakan baru akan dipercepatkan.
- Pengambilan kakitangan bagi jawatan yang kritikal dalam sektor awam secara kontrak akan dipercepatkan.
* Untuk menyediakan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif serta penjanaan peluang pekerjaan yang mapan bagi sektor swasta:
- Tanah kerajaan di lokasi strategik akan dibangunkan secara usahasama dengan sektor swasta dan GLC, yang juga akan mempelbagaikan hasil kerajaan.
- Duti import bagi simen dan keluaran besi keluli panjang bagi sektor pembinaan dan pembuatan akan dihapuskan, manakala Approved Permit (AP) bagi keluaran besi keluli panjang juga dikecualikan.
- Pembelian hartanah komersil bernilai RM500,000 atau lebih, untuk kegunaan sendiri, dibenarkan tanpa kelulusan FIC.
- Dana tambahan sebanyak RM200 juta akan disediakan bagi skim mikro kredit di bawah seliaan Bank Negara Malaysia.
- Permit kerja akan terus diberi kepada knowledge worker
- Proses pengambilan profesional, pengiktirafan kelayakan asing serta pengeluaran visa di bawah program pelancongan kesihatan dan pendidikan dipermudahkan.
- Syarikat GLC akan melaksanakan program Graduate Employability Management Scheme (GEMS) untuk melatih 12,000 graduan dalam tempoh 2 tahun.
- Masa perniagaan pasaraya besar dan pusat membeli belah dilanjutkan.
* Untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan mengekalkan permintaan dalam negeri:
- Potongan caruman pekerja KWSP boleh dikurangkan secara sukarela sebanyak 3% selama 2 tahun, mulai 1 Januari 2009.
- Had kelayakan pinjaman kereta bagi penjawat awam ditingkatkan.
- Pinjaman perumahan bagi penjawat awam untuk hartanah di pasaran sekunder di mana hak milik strata belum dikeluarkan boleh dibenarkan.
- Tempoh bayaran balik pinjaman perumahan kerajaan sediada dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun.
Langkah-langkah di atas merupakan pakej ransangan yang komprehensif yang bukan sahaja disasarkan untuk menangani impak krisis kewangan global pada tahun 2009, maalh meletakkan asas-asas yang kukuh bagi mengekalkan momentum pertumbuhan negara yang mapan demi mencapai objektif Misi Nasional dan Wawasan 2020.