15 Jun lalu atau hari Ahad minggu ke-2 bulan Jun setiap tahun, kita semua akan meraikan Hari Bapa. Selamat Hari Bapa kepada semua bapa dan Alfatihah kepada bapa-bapa yang telah kembali ke Rahmatullah. Alfatihah juga kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, para nabi, anbia dan muslimin-muslimat sekalian.
Abah, Bak, Encik, Papa, Daddy, Ayah dan pelbagai panggilan lain diucapkan oleh kita kepada lelaki istimewa ini. Ganti nama diri yang menyebabkan kita menghormati mereka lebih dari lelaki-lelaki lain, membuatkan kita rasa selamat, tempat bermanja, tempat kita menyelamatkan diri bila mak marah, tempat kita mintak duit (he... he...), mintak beli itu dan ini, tempat kita mengadu nasib dan tempat kita merujuk 1001 masalah berkaitan kaum adam. Pokok pangkalnya, dia lah segalanya selain mak yang disanjung.
Dari tulang rusuk kiri Nabi Adam a.s. wujudlah Hawa dan, tidak dinafikan bahawa lahirnya kita berpunca dari percantuman benih di antara mereka.Tanpa perkongsian mereka ini tidak akan menghasilkan berjuta umat dunia pada hari ini. Sesungguhnya insan bernama lelaki ini amat besar ertinya dalam kehidupan.
Jika diimbas kembali, doktor yang menyambut t masa lahir dulu adalah lelaki dan doktor yang melahirkan Puteri UMNO juga adalah lelaki (jasamu tetap dikenang walau kita ditakdir berbeza haluan). Dalam susunatur keluarga, di atas t adalah lelaki dan di bawah t juga lelaki.
Rakan-rakanku sekalian,
Mahluk Allah jenis ini jugalah yang banyak mengajar erti kasih sayang dan sendu, mereka ini juga yang memperkenalkan erti bahagia dan sengsara, jenis ini jugalah yang membuatkan kaum hawa bertukar-tukar status, yang membuatkan kita perlu sentiasa berjaga-jaga, menguasai pelbagai tajuk utama berita, di dada-dada akhbar serta media, dan pelbagai lagi yang terlalu banyak kalau nak dihuraikan. Apa yang paling penting adalah kaum ini jugalah yang biasanya mengarahkan kita di pejabat... Boss!
Terlalu banyak yang boleh diperkatakan tentang lelaki ini dan t buka kepada semua untuk mengemukakan pandangan dan buah fikiran.
Satu yang t tak faham adalah tentang lelaki yang sudah meningkat usia. Biasanya mereka ini bergelar suami. Persoalannya, mengapa selepas 10, 20, 30 atau 40 tahun berkahwin baru sedar bahawa isteri yang dinikahi tidak lagi menjadi wanita idaman hati? Dah lama kahwin, anak-anak dah besar panjang baru sedar isteri tak 'trendy'? Baru sedar isteri tak mampu menjadi rakan komunikasi yang baik, tak boleh berkongsi pendapat, tak membantu memecahkan kebuntuan kemusykilan? Baru sedar itu dan ini?... Sedih sangat bila dengar kawan-kawan t bercerai-berai, masjid pasangan emas roboh dilanda badai, syarikat persendirian menjadi perkongsian. Kenapa ek?
Apa sebenarnya yang dikehendaki oleh lelaki?